Pertama sekali, perkara penting yang perlu diingati ialah:
ibu hamil yang mendapat hipertensi tidak patut mengambil diet yang rendah sodium!
Dalam kes hipertensi dalam individu biasa, pengurangan sodium adalah diperlukan untuk
menurunkan tekanan darah. Tetapi, strategi yang sama tidak boleh diaplikasikan
ke atas hipertensi dalam kehamilan. Hal ini demikian kerana sodium diperlukan untuk penyimpanan air
dalam badan dan meningkatkan volume darah. Oleh itu, amaun sodium yang tertentu tetap diperlukan untuk melahirkan bayi yang
sihat. Sebagai kesimpulannya, merujuk kepada Panduan Pemakanan Malaysia (MDG), ibu
hamil yang mendapat hipertensi harus mengambil tidak lebih daripada 2000 mg sodium sehari, sama dengan 5 g garam.
Read More

Suplemen kalsium juga memberi manfaat dalam pengurusan
hipertensi dalam kehamilan. Ini disebabkan kekurangan kalsium merupakan salah
satu faktor yang membawa kepada hipertensi dalam kehamilan. Banyak kajian
menunjukkan bahawa pengambilan suplemen kalsium dapat mengurangkan darjah
keparahan preeclampsia selain dapat mengurangkan risiko para ibu hamil untuk
mendapat hipertensi. Pengambilan suplemen kalsium sebanyak 1500-2000 mg sehari
disyorkan untuk hipertensi dalam kehamilan (WHO, 2011).
Panduan Perancangan Menu (daripada American Dietetic
Association, ADA):
Makanlah sekurang-kurangnya:
- 3 hidangan bijian utuh dan produknya terutamanya produk yang ditambah dengan kandungan zat besi.
- 2-3 hidangan sayur-sayuran. Ini adalah termasuk sekurang-kurang 1 hidangan sayur hijau atau merah yang kaya dengan Vitamin C.
- 2 hidangan buah-buahan.
- 2-3 hidangan daging, ikan atau poltri yang kurang lemak.
- 3 hidangan susu atau produk susu (rendah lemak atau tanpa lemak) untuk mendapat kalsium dan Vitamin D yang mencukupi.
Apakah yang patut dielakkan oleh para ibu hamil yang mempunyai hipertensi?
Ibu hamil yang mendapat hipertensi patut mengelakkan:
- Makanan yang tinggi kandungan sodium seperti daging yang diproses, makanan dalam tin, dan makanan yang diperap dalam garam.
- Alkohol. Sebenarnya, semua ibu hamil tidak boleh mengambil alkohol untuk mengelakkan fetal alcohol syndrome dalam bayi.
- Pengambilan kafein secara berlebihan. Ibu hamil tidak patut mengambil lebih daripada 4 cawan kopi sehari.
- Pengambilan daging, ikan, poltri atau telur yang mentah / kurang yang boleh membawa kepada jangkitan mikroorganisma.
- Susu dan produk susu yang tidak melalui proses pasteurisasi.
- Makanan yang tinggi dalam raksa (mercury) seperti ikan yu dan tenggiri Amerika yang boleh menyebabkan masalah tumbesaran malah kematian dalam bayi.
- Merokok.
Adakah Anda Tahu?
Fetal Alcohol Syndrome
adalah sejenis kecacatan dari segi mental dan fizikal dalam bayi disebabkan
oleh pengambilan alkohol oleh ibu semasa kehamilan. Bayi yang mempunyai sindrom
ini akan menunjukkan simtom-simtom dan komplikasi seperti:
- Masalah tumbesaran semasa dalam rahim and selepas lahir
- Kelemahan otot dan koordinasi.
- Kerencatan akal
- Masalah jantung
- Kematian bayi
Ciri-ciri
wajah kanak-kanak yang mempunyai fetal
alkohol syndrome:
(Sumber:
A.D.A.M. Medical Encyclopedia)